BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, February 2, 2011

PRA3101: Pandangan Tokoh-tokoh Pengasas Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Pandangan Tokoh-tokoh Pengasas Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi mengendalikan pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Pada pandangan anda, adakah pandangan ahli falsafah mempengaruhi pembentukan kurikulum untuk kanak-kanak pada peringkat awal?

Tokoh-tokoh pengasas pendidikan awal kanak-kanak adalah terdiri daripada;
1. Imam Al-Ghazali
2. Ibnu Khaldun
3. Johann Heinrich Pestalozzi
4. Friedrich Froebel
5. Maria Montessori

IMAM Al-GHAZALI
Dilahirkan pada 450 Hijrah bersamaan 1058 Masehi di sebuah kampung bernama Ghazalah Daulayah Qursan di Negeri Parsi. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Tahun 484 Hijrah beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti dan pensyarah di Universiti Pengajian Tinggi Nizamiah. Pada tahun 489 hijrah, beliau meletak jawatan dan pergi ke Syria dan ke Mekah. Kitab beliau yang termashur ialah Ihya Ulumuddin.

Pandangan / Idea-idea beliau
Seorang kanak-kanak harus dididik sejak lahir. Seorang bayi jangan diberikan kepada orang lain menjaganya kecuali perempuan yang kuat agama dan mulia tingkah lakunya.
Didik kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang.
Didik kanak-kanak supaya memperolehi tingkah laku yang mulia, merendah diri, tidak berbohong, bersederhana dalam perlakuan, tidak berkawan dengan orang jahat dan tidak berbangga.
Bersikap tegas dengan kanak-kanak, jangan biasakan mereka bersenang-senang, jangan berseronok atau bermanja-manja apabila bergaul dengan mereka.
Tidak boleh keterlaluan bila mendenda kanak-kanak. Jangan mencemuh dan menimbulkan kebencian mereka.
Memperelokkan fitrah dan membentuk naluri mereka.
Suruh kanak-kanak bermain kerana main pada kanak-kanak dapat:
- Membantu perkembangan fizikal serta menguatkan otok mereka.
- Sifat semulajadi kanak-kanak memang suka bermain.
- Dapat menggembirakan mereka serta memberi kerehatan selepas penat belajar.
Nasihat beliau kepada guru supaya:
- Mengajar mengikut kemampuan kanak-kanak.
- Memperbaiki perlakuan dengan mesra bukan dengan cara menempelak mereka.
- Guru tidak perlu mengharapkan ganjaran tetapi perlu menunjukkan model tingkah laku yang baik.

IBNU KHALDUN
Ibnu Khaldun merupakan seorang pemikir Islam yang terakhir pada zaman pertengahan telah menasihatkan ibu bapa dan golongan pendidik.
Beliau banyak memperkatakan mengenai persediaan untuk belajar, pemerhatian, motivasi, berusaha, pengukuhan, perbezaan individu dan latihan.

Pendapat beliau pada peringkat permulaan:
Jangan diajar kanak-kanak dengan perkara-perkara yang susah.
Belajar daripada mudah kepada yang lebih susah secara:
- Berperingkat-peringkat
- Mengadakan latih tubi
- Menggunakan benda-benda maujud
- Menggunakan bahan-bahan bantu mengajar
Kanak-kanak jangan dibebankan dengan perkara-perkara yang diluar kemampuan mereka. Ini boleh menyebabkan mereka:
- Tidak mahu belajar
- Mencerca pengajaran yang diberi
Beliau mencadangkan kanak-kanak di peringkat prasekolah hendaklah diberi contoh-contoh yang konkrit yang boleh difahami melalui pancaindera mereka.
Ibnu Khaldun juga menyarankan pembacaan Al-Quran harus diajar sebelum menghafalnya. Apabila sampai umur tertentu dan sesuai dengan daya pemikiran barulah diajar tafsir, hukum dan lain-lain.
Jadual pembelajaran harus disusun dengan baik supaya kanak-kanak dapat memahami apa yang disampaikan.
Kanak-kanak harus dibentuk dengan penuh kasih sayang, lemah lembut dan bertimbang rasa bukannya dengan cara kekerasan kerana ini boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas, pembohong, berlagak untuk menyembunyikan yang sebenar, membuat tipu helah dan tidak berperikemanusiaan.
Masa belajar jangan terlalu panjang kerana boleh menyebabkan lupa, sebaliknya dalam waktu yang pendek serta cara yang betul bagi mendapat hasil pembelajaran yang baik.
Bahasa adalah asas kepada semua kanak-kanak semasa pembelajaran. Mulailah dengan menulis dan membaca, kemudian kaitkan dengan makna.
Pendekatan Ibnu Khaldun merupakan contoh pendekatan yang baik dalam membentuk peribadi kanak-kanak.

JOHANN HEINRICH PESTALOZZI (1746 – 1827)
Beliau dilahirkan di Zurich, Swizerland. Beliau membuka sebuah sekolah di ladangnya dikenali dengan nama “Neohof” pada tahun 1774. Di sekolah itu diintegrasikan kehidupan di rumah, pendidikan vokasional dan pendidikan untuk bacaan dan tulisan.

Idea-idea beliau mengenai pendidikan:
Anak-anak perlu dibimbing secara perlahan-lahan berdasarkan potensi yang ada padanya. Bimbingan itu perlu bermula daripada pengalaman deria kepada idea yang abstrak.
Percaya bahawa pendidikan adalah diasaskan kepada pengalaman-pengalaman deria. Melalui pengalaman itu kanak-kanak boleh mencapai potensi mereka yang semulajadi.
Beliau percaya pengajaran boleh dibentuk berdasarkan objek. Oleh itu, pembelajaran konsep hendaklah dengan melalui manipulatif seperti membilang, mengukur, merasa dan menyentuh.
Guru yang baik ialah guru yang mengajar kanak-kanak bukan mengajar mata pelajaran.
Beliau juga percaya kepada kumpulan pelbagai umur. (multiage grouping).
Beliau yakin bahawa ibu adalah orang yang terbaik untuk mengajar anaknya.

FRIEDRICH FROEBEL (1782 – 1852)Seorang tokoh pendidikan dari Jerman. Beliau digelar sebagai “Bapa Tadika”. Pada tahun 1837, beliau menubuh sekolah taman kanak-kanak yang dinamakan “Kindergarten”. Beliau adalah seorang yang kuat beragama dan menganggap manusia secara semulajadinya adalah baik dan dunia adalah tempat bekerja dan manifestasi terhadap Tuhan.


Menurut beliau “kanak-kanak umpama biji benih, ibu bapa dan pendidik umpama tukang kebun, kindergarten pula ialah taman untuk kanak-kanak. Oleh itu kanak-kanak perlu belajar dalam persekitaran yang terancang dan kanak-kanak berkembang melalui main”

Antara idea-idea Froebel ialah:
Taman kanak-kanak perlulah dipenuhi dengan keindahan untuk menarik perhatian kanak-kanak. Sekurang-kurangnya ia dicat dengan warna yang terang, mempunyai bilik yang senang dimasuki cahaya, dipenuhi dengan taman-taman, binatang dan gambar-gambar.
Dilengkapi dengan kerusi meja yang sesuai untuk kanak-kanak. Keadaan bilik janganlah sempit kerana menyusahkan perjalanan aktiviti.
Kelas prasekolah perlu dipenuhi dengan pemandangan, bunyi-bunyian dan objek-objek untuk kanak-kanak yang mempunyai bentuk yang mudah, saiz dan warna.
Suasana di taman kanak-kanak hendaklah dapat mengawal kanak-kanak daripada pengaruh jahat yang terdapat dalam masyarakat dan bahaya alam semulajadi. Di taman kanak-kanak perlu dipupuk dengan perkembangan mental, fizikal dan sosial kanak-kanak. Taman kanak-kanak merupakan satu pendekatan terhadap latihan kanak-kanak. Pendidikan adalah pembinaan watak atau peribadi kanak-kanak. Ia hendaklah berdasarkan kepada keperluan dan keupayaan kanak-kanak. Menurut beliau, kanak-kanak mempelajari sesuatu melalui perbuatan. Ia perlu diberi kebebasan. Beliau menekankan kaedah bermain kepada kanak-kanak dan belajar melalui membuat. Beliau mencadangkan dalam mendidik kanak-kanak perlu menggunakan objek supaya menimbulkan minat dalam pembelajarannya. Beliau menekankan disiplin diri terhadap kanak-kanak dan motivasi dalaman adalah penting bagi kanak-kanak. Pembelajaran bukanlah sesuatu yang terpisah dan ia saling berkaitan antara satu sama lain.

MARIA MONTESSORI (1870 – 1952)Merupakan tokoh pendidikan di Rome. Berpengalaman mendidik kanak-kanak yang terencat akal. Pada tahun 1899, beliau menubuhkan sekolah kanak-kanak cacat di Rome. Montessori menyokong Froebel dalam pendapat membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Beliau mengutamakan latihan daya penglihatan, pendengaran dan sentuhan yang bertujuan bagi membolehkan kanak-kanak mendapat pengalaman dan latihan menggunakan deria dengan cekap. Beliau berpendapat dalam mendidik kanak-kanak ia mestilah menghormati kanak-kanak dan haknya. Oleh itu, persekitaran yang terancang, kemahiran hidup, disiplin diri dan arahan adalah prinsip penting dalam pendidikan kanak-kanak. Menurut beliau, pendidikan adalah untuk menolong kanak-kanak membentuk serta membantu perkembangan intelek, fizikal, sosial, emosi dan rohani.

Montessori mengemukakan beberapa konsep asas dalam pembentukan kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal. Antaranya adalah konsep berikut;

a. Minda yang mudah menyerap

Menurut Montessori, minda kanak-kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka, sebelum mereka bersedia untuk diajarkan konsep tersebut. Seorang kanak-kanak mula menyerap kejadian yang berlaku disekelilingnya dan menyusun pengalaman ini daripada saat kelahiran lagi.

b. Persekitaran yang tersedia
Persekitaran yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak adalah persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong pembentukan konsep dan pengetahuan kanak-kanak apabila kanak-kanak memerlukannya. Peranan guru adalah menunjuk ajar cara menggunakan bahan pembelajaran tersebut pada masa yang sesuai.

c. Didikan diri
Kanak-kanak mampu menjelaskan persepsi mereka dan menyusun pengalaman melalui aktiviti yang sesuai, apabila persekitaran mereka disusun secara lengkap dengan pelbagai bahan pembelajaran yang menarik. Kanak-kanak berkebolehan menyusun pengetahuan mereka apabila mereka terlibat dalam sesuatu aktiviti pembelajaran. Guru tidak perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar perlu mengajar kanak-kanak secara formal. Guru hanya menunjuk ajar dan membimbing mereka dalam pemilihan bahan dan aktiviti.

d. Bahan pembelajaran
Guru hanya menunjuk ajar cara yang “betul” bagaimana menggunakan bahan tersebut selepas kanak-kanak memilih aktiviti pembelajarannya secara bebas dan sukarela. Mengikut Montessori, matlamat kurikulum pada peringkat awal adalah bagi memajukan diri kanak-kanak daripada segi; penumpuan perhatian; kemahiran mmerhati dan meneliti; kesedaran berkenaan susunan dan peraturan; keseimbangan pergerakan; kesedaran persepsi dan kemahiran praktikal; konsep matematik; kemahiran bahasa; kemahiran menulis dan membaca; kebiasaan dengan seni kreatif; pemahaman berkenaan alam semulajadi; pengalaman dan pemahaman berkenaan sains social; pengalaman menggunakan kemahiran berfikir secara kritis melalui pengalaman menyelesaikan sesuatu masalah.

e.Tempoh sensitif
Tempoh sensitif adalah tempoh yang paling sesuai untuk kanak-kanak menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat dikesan apabila kanak-kanak menunjukkan kesediaan dan minat bagi mempelajari sesuatu kemahiran dengan sentiasa menanya soalan dan sentiasa tertarik bagi memerhati dan menyentuh sesuatu bahan pembelajaran.

Menurut falsafah Montessori;

Ibu bapa patut diberi latihan dalam perkembangan kanak-kanak dan cara menggunakan pengetahuan ini dalam membimbing anak mereka.
Terdapat tempoh sensitif yang merupakan masa paling sesuai bagi kanak-kanak menerima maklumat dan konsep tertentu. Tempoh sensitive ini berbeza mengikut kadar perkembangan seseorang kanak-kanak.
Kanak-kanak mampu melatih diri sendiri, dengan bimbingan yang minimum daripada orang dewasa.
Kanak-kanak yang biasa berdikari dalam proses pembelajaran akan terus belajar secara demikian apabila dewasa kelak.
Maklumat yang diterima melalui deria adalah maklumat asas dalam semua jenis pembelajaran.
Bahan pembelajaran yang dibentukkan oleh Montessori melatihkan kanak-kanak berdikari dalam mengurus diri dan persekitarannya melalui pengalaman sebenar dan kegunaan bahan manipulatif dan “betul diri”.
Guru akan meningkat pengetahuan mereka melalui pengalaman dengan kanak-kanak.
Kanak-kanak memerlukan persekitaran dan alat pembelajaran yang tersusun dan bersaiz kanak-kanak.
Guru perlu menyediakan persekitaran yang lengkap bagi membantu kanak-kanak belajar secara bebas.
Peranan guru hanya membantu kanak-kanak, bukan memaksa ataupun menentu arah pembelajaran mereka.

Bagi mencapai matlamat ini, terdapat beberapa prinsip dalam kaedah Montessori iaitu berdasarkan kepercayaan beliau terhadap pendidikan awal kanak-kanak. Antaranya ialah:
- Menghormati kanak-kanak dan hak mereka.
- Konsep kebebasan
- Menguasai kemahiran dari mudah ke sukar
- Kanak-kanak dididik secara bersepadu dan menyeluruh
- Kanak-kanak melakukan aktiviti arahan kendiri.
- Pentingnya disiplin diri
- Terdapat tempoh sensitif yang berbeza bagi setiap kanak-kanak
- Kanak-kanak menyerap masuk pengetahuan dan menggunakanya. Kanak-kanak mengajar diri mereka sendiri.
- Kanak-kanak belajar dengan lebih baik dalam persekitaran yang disediakan hendaklah membolehkan kanak-kanak belajar secara sendiri.

0 comments:

Post a Comment