BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, September 9, 2010

WARKAH DARI IBU UNTUK ANAK TERSAYANG

Anakku sayang,
Sesunguhnya kamu permata hati ibu. Sejak kecil ibu mengasuhmu, membelai, mendidik, memberi segala harapan kamu akan menjadi manusia yang berguna. Bahagia di dunia dan di akhirat.

Anakku sayang,
Tahukah kamu anakku bahawa kehadiranmu membawa seribu makna dalam keluarga. Akhlak yang terpancar dari keperibadianmu menjadi kebanggaan ibu. Sebaliknya ibu rasa terkilan kamu mengenepikan soal adab dan akhlak dan menjadi seorang yang kurang ajar. Tapi ibu tahu anak ibu orang yang baik.

Anakku sayang,
Ibu menaruh harapan tinggi terhadap kejayaanmu. Ibu tidak mengharapkan apa-apa balasan, apatah lagi wang ringgit darimu. Kekadang ibu bimbang tentang nasib masa depanmu. Ibu sedar segalanya telah ditentukan Tuhan. Tetapi anakku, kita mesti berusaha, berikhtiar serta berdoa untuk mengubah kehidupan kita. Sebab itu ibu selalu berpesan perkara yang sama. Tapi ibu tahu kamu anggap itu semua leteran. Tak mengapalah anakku. Satu hari nanti kamu akan faham juga.

Anakku sayang,
Kehidupan ini selalunya indah. Kekadang kita menghadapi masalah. Kita runsing. Kita buntu. Lebih-lebih lagi bila kita gagal mencari jalan penyelesaiannya. Seandainya kamu berada dalam situasi begini, dekatilah ibu. Dampingilah ayahmu atau guru-gurumu. Mintalah nasihat dari mereka. Banyaklah bersabar dan mohonlah petunjuk dari Allah S.W.T

Sebaliknya anakku, janganlah kamu pendamkan masalahmu. Ibu takut kamu akan melakukan sesuatu yang tak sepatutnya kamu lakukan. Ibu juga khuatir kalau-kalau kamu mendekati rakan-rakan yang juga bermasalah. Lalu mereka cuba mempengaruhimu dengan sesuatu yang tidak baik atau terkeji. Anakku, ibu merayu padamu jangan sesekali kamu menghampiri dadah atau terlibat dalam pergaulan bebas yang tak mengenal batas.

Anakku sayang,
Kamu seorang yang mulia dan bermaruah tinggi. Jadikanlah dirimu contoh teladan yang baik kepada yang lain atau sekurang-kurangnya kepada adikmu atau keluargamu. Berusahalah anakku untuk menguasai ilmu dengan mencipta kecemerlangan dalam pelajaran. Dengan ilmu nanti, kamu akan membezakan nilai yang baik dan yang buruk. Kamu juga dapat meneruskan agenda perjuangan pemimpin-pemimpin hari ini.

Anakku sayang,
Banyaklah bersyukur kepada Allah S.W.T. Buanglah perasaan bosan dan jemu ketika menghadapi pelajaran. Ibu sentiasa berdoa semoga kamu menjadi anak yang soleh. Lalu boleh mendoakan kesejahteraan ibu ayah nanti. Tingkatkan dan ketaqwaan serta jangan sesekali meninggalkan solat. Ingat pesan ibu, jagalah solatmu!

Anakku sayang,
Ibu berdoa semoga kamu berjaya dan bahagia menghadapi detik-detik mendatang. Andainya ibu sudah tiada lagi nanti, doakanlah untuk kesejahteraan ibu. Ingatlah segala pesan ibu. Sampaikan pesan ibu pada anak-anak nanti. Didiklah mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana sayangnya ibu terhadapmu. Semoga warkah ini bersemadi dalam sanubarimu.........

0 comments:

Post a Comment